Jadi kaya, jangan lupa diri.
PUTRAJAYA 10 Jan. ‘08 :Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, 56, yang diumumkan
sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429 akan sentiasa mengingati pesanan ibunya, Sharifah
Rokiah Syed Abdullah supaya menyumbangkan separuh daripada pendapatannya bagi
membantu golongan kurang berkemampuan.
Beliau berkata, separuh daripada pendapatan pertama ketika membantu bapanya,
Syed Nor Albukhary berniaga lembu sebanyak RM1,500 ketika tahun 60-an telah
diserahkan kepada ibunya yang kemudian memintanya mengagihkan wang itu kepada 15
keluarga miskin di Alor Star, Kedah.
”Saya guna pesanan ibu itu supaya separuh daripada pendapatan diberikan kepada
orang kurang mampu, itulah yang telah memberikan saya keinsafan.
”Malah sampai sekarang, sumbangan kepada 15 keluarga tersebut terus diberikan,
kalau yang meninggal dunia diganti dengan orang lain.
”Tuhan sudah memberikan segala nikmat, semuanya saya dah rasa, apa lagi yang
kita mahu, maka nikmat itu perlu digunakan bagi faedah kepada orang ramai
terutama pelajaran,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1429 Peringkat
Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong,
Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Melalui anugerah tersebut, Syed Mokhtar yang juga Pengerusi Yayasan Albukhary
menerima hadiah wang tunai sejumlah RM60,000 yang disumbangkan oleh kerajaan
manakala RM20,000 lagi oleh Yayasan Ubaidi.
Perniagaan
Syed Mokhtar yang berasal dari sebuah keluarga Arab Hadhrami kurang berkemampuan
di Alor Star kini merupakan ahli perniagaan bumiputera terkaya di negara ini
dengan harta bernilai RM4.16 bilion sebagaimana dinyatakan dalam Senarai
Bilionair Dunia Forbes 2007.
Syarikat Kumpulan Albukhary yang dibangunkan oleh beliau kini terbabit dalam
beberapa industri utama negara antaranya pengangkutan, logistik, utiliti,
automotif, pertahanan, makanan dan perbankan Islam serta kewangan.
Kumpulan tersebut menubuhkan Yayasan Albukhary pada 1996 sebagai sayap
kerja-kerja kebajikan dan menyalurkan dana bagi kerja-kerja amal yang kini
berkembang sebagai entiti amal global antaranya penubuhan Muzium Kesenian Islam
Malaysia dan Program Biasiswa Albukhary.
Sehingga 2006, yayasan tersebut menyumbang hampir RM1 bilion secara langsung
kepada usaha kebajikan termasuk menyertai proses membina semula kehidupan
pelarian Afghanistan, bantuan mangsa gempa di Pakistan dan Iran serta mangsa
bencana tsunami di Aceh, Indonesia.
Selain itu, yayasan tersebut sedang berusaha menubuhkan hospital AIDS di Uganda,
membantu kanak-kanak jalanan di Afrika dan merintis program bantuan kemanusiaan
bagi mangsa perang di Iraq dan Lebanon.
Menurut Syed Mokhtar, mengenangkan kejayaan yang dicapainya sekarang daripada
pesanan seorang ibu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta
beliau menyerahkan hadiah wang tunai yang diterimanya itu kepada ibunya.
”Saya tanya pada Pak Lah nak buat apa dengan duit RM80,000 ini, dia kata
bagilah kepada ibu kerana dari situlah asal saya,” katanya.
Kejayaan
Syed Mokhtar yang mengakui inilah kali pertama beliau mendedahkan kisah hidupnya
kepada media berkata, meskipun telah mengecapi kejayaan, beliau sebenarnya hanya
sekadar manusia biasa dan Yang Maha Kaya itu adalah Allah .
”Daripada keinsafan itu, kita cari rezeki macam tidak ada hari esok, saya
usahakan sejak dari tahun 60-an dan telah melalui kepayahan dan kesakitan.
”Dan sehingga hari ini syarikat lori dan beras yang merupakan perniagaan awal
saya di Kedah masih terus beroperasi.
”Saya adalah anak kelahiran Dasar Ekonomi Baru (DEB), melalui bantuan Mara
serta UDA saya mengembangkan perniagaan tetapi melalui proses pahit maungnya
dahulu,” katanya.
Jelas beliau, apabila mendapat rezeki yang banyak, ia digunakan untuk kebajikan
lebih 67,700 kakitangan Kumpulan Albukhary dan selebihnya bagi membantu golongan
kurang berkemampuan.
Syed Mokhtar berkata, kesempitan kewangan ketika zaman kanak-kanak sehingga
tidak mampu membayar yuran peperiksaan menyebabkan beliau kini berusaha membantu
pelajar-pelajar kurang berkemampuan untuk mendapat peluang pelajaran.
”Saya bersekolah setakat tingkatan lima tapi tak sempat ambil peperiksaan
kerana tidak mampu bayar yuran.
”Jadi, mengenangkan dulu saya tidak ada peluang, bila saya dapat peluang dalam
perniagaan saya fikir kena beri peluang pendidikan kepada mereka yang tidak
mampu,” katanya.
Katanya, aktiviti kebajikan melalui Yayasan Albukhary diteruskan pula melalui
pembinaan Kompleks Albukhary di Alor Star yang berkonsepkan pondok moden dengan
dilengkapi masjid, rumah anak-anak yatim dan sekolah.
Selain itu katanya, yayasan tersebut yang dijana oleh syarikat Kumpulan
Albukhary turut menyediakan program tuisyen yang sehingga kini telah melibatkan
22,000 pelajar kurang berkemampuan sejak empat tahun lalu.
Tambahnya, pihaknya kini sedang membina Universiti Antarabangsa Albukhary yang
dijangka siap penghujung 2009 sebagai tempat pelajar-pelajar cemerlang kurang
berkemampuan itu untuk menyambung pelajaran.
”Pelajar-pelajar kurang mampu itu kita beri peluang dengan kita gajikan guru
untuk mengajar mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dan
alhamdulillah kebanyakannya dapat maju ke depan,” katanya.
Katanya, hasil pesanan ibunya, beliau turut mengembangkan aktiviti kebajikan
kepada masyarakat minoriti Islam yang tertindas dan miskin di luar negara dengan
membawa pelajar-pelajar miskin tetapi cerdik untuk menyambung pelajaran di sini.
Setakat ini, katanya, seramai 372 orang pelajar dari 47 buah negara minoriti
Islam sedang menimba ilmu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di
bawah tajaan Yayasan Albukhary.
Yayasan berkenaan juga menaja umat Islam kurang berkemampuan dari segi kewangan
bagi menunaikan ibadah haji serta memberikan bantuan pembinaan masjid-masjid
termasuk membiayai projek membaik pulih Masjid Negara di ibu negara.
”Usaha membaik pulih Masjid Negara timbul apabila satu malam saya ‘berpusing-
pusing’ (meninjau) kawasan sekitar Muzium Kesenian Islam, saya dapati ia
terang-benderang tetapi Masjid Negara gelap? macam mana boleh macam ini,”
katanya.
>> Artikel tambahan

Souq Albukhary
LATAR BELAKANG TAN SRI SYED MOKHTAR AL BUKHARY
(Embedded image moved to file: pic21659.jpg)Umur – 56 tahun (2008)
Pendidikan – SPM
Mula berniaga – 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
Kekayaan -RM4.16 bilion sebagaimana dinyatakan dalam Senarai Bilionair
Dunia Forbes 2007
Ke 7 terkaya di Malaysia
Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)
Antara syarikat miliknya – MMC, Pelabuhan Tg. Pelepas,
BERNAS, Gardenia, DRB-HICOM dan Bank Muammalat
Kereta – Proton Perdana
Sumbangan sosial -Yayasan Al-Bukhary, institusi pengajian untuk 3,000
pelajar, Muzium Kesenian Islam, Kompleks Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen
untuk pelajar Melayu, pengindahan Masjid Negara, sumbangan RM1 juta untuk
Tabung Tsunami dan menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang
tak mampu untuk tunaikan haji.
BAGAIMANA sumbangan sosialnya bermula – Bila mana ibunya menyuruh memberikan
sebahagian elaun (RM750.00) pertamanya sebagai pengarah syarikat beras kepada
jiran yang susah. Sebahagian lagi (RM750.00) ibunya simpan. Selain itu, ibunya
juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau untuk menerangi
kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah pembentukan
peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.
1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan
kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan
warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.
2. (Berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena
berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu
melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik
semata-mata.
3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusiaini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.
4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya
akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi
itulah jalan yang kekal.
5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh
lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi
dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh
menjaga kepentingan kita.
6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu
memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.
7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.
8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.
9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi
dan saya juga biasa kena tipu.
10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo, New York dan
London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana,
hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam,
hendak makan pun sampai larat mana?
11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa diatas, ada masa
di bawah.
12. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.
13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan.
Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama
kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang
lain berusaha mereka marah.
14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun
begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana
sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit
yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.
15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa
dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata
kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita
tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita,
kita masih tidak buat apa-apa !
16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan
individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya
tidak mustahak.
17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya
beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak
berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang Tuhan
beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.
18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar,
minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha
sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena
berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah
kita menolong orang.
19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan
perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya
untuk sementara sahaja.
20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri.
Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita
lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang
saya lakukan sekarang.
21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat
bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini
untuk diri saya semata-mata.
22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya
dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain
memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah
orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar
berpecah kerana ini (wang).
23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.
24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam
tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada
menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa
kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.
25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak
berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada
cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir
bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu
senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.
26. (Perasaan setiap kali mendapat rezeki). Saya ini kata orang Kedah, lebai
kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta
terus dari Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju
dan seluar biarlah padan dengan badan.
27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam
bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain,
perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit
itu ada berkatnya.
28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh
berkongsi sama.
29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang
sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang
lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal
usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan.
30. ??kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia
yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi.
Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.
31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah
sedikit pun tidak mengapa.
32. Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula.
Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa
orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.
33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa
untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.
34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan
semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat
untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas
seharian.
35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini.
Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak
ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.
36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi
sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun
cukup untuk bawa saya ke mana-mana.
37. Tiada sebab orang kenapa Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang
dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara
kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab
kenapa ia tidak boleh berlaku.
38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan
agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan
tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang
wujud dalam cara orang Melayu berfikir.
39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada
saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang
lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.
40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan
kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena
kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai
kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.
41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan
fokus.
42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi
mana pun kejayaan dicapai.
43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada
didikan orang tua saya sendiri.
44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya
tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang
habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.
45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima
apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.
46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka
menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak.
Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.
47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau
saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli
sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.
48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa
yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri
saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan
beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.
49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada
kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita
terlalu banyak ketinggalan.